Suasana petang di dalam rumah dua tingkat itu sedikit tegang. Puan Naimah sudah buntu mahu memujuk anak lelakinya yang seorang itu untuk menerima calon menantu pilihannya. Pada Puan Naimah, tiada kurangnya calon yang di bawa Hafiz untuk dijodohkan dengan Hariz itu.


“Terima je lah calon tu Hariz, mana tahu kali ini betul jodoh kamu, kenal-kenal dulu, penat abang Hafiz tolong carikan calon untuk kamu” Puan Naimah memujuk Hariz lagi.


“Hariz tak naklah umi! Hariz nak tunggu Ain, Hariz cintakan Ain!” bentak Hariz. 


“Ain dah tak ada, Hariz kena terima kenyataan.” Puan Naimah memujuk lagi.


“Tak umi, selagi Hariz tak nampak kuburnya, Hariz tak percaya!” Hariz masih membangkang.


“Hariz, jangan macam ni. Dah setahun Ain hilang, terimalah kenyataan.” Hafiz pula memujuk.  Hafiz hanya geleng kepala melihatkan kedegilan bertingkat-tingkat yang di tunjuk oleh Hariz.


“Hariz, move on! Polis pun cakap Ain tak dapat dikesan. Sampai bila nak tunggu lagi?” Nisa, Isteri kepada Hafiz juga ikut memujuk.


Hariz mengeluh kasar. “Tak ada siapa boleh gantikan tempat Ain!” jawab Hariz. Hariz bangun dari kerusi dan terus berlari ke bilik. Air mata yang di tahan-tahan sedari tadi jatuh juga. Bagaimana mahu dia melupakan Ain, kehilangan Ain sendiri menjadi tanda-tanya. Tiada siapa tahu ke mana Ain menghilang. Gerakan mencari Ain juga sudah lama dihentikan. Ayah dan ibu Ain sendiri sudah mula redha dengan kehilangan Ain. Cuma Hariz sahaja yang tidak mahu menerima kehilangan tunangnya itu.


Kehilangan Ain yang ketika itu pergi bercuti bersama-sama dengan kawan sepejabatnya menjadi tanda-tanya. Menurut mereka, Ain terjatuh ketika mereka sedang menaiki bot untuk pulang dari Pulau Dayang Bunting.  Hujan yang sangat lebat ketika itu membuatkan usaha untuk menyelamatkan Ain menemui jalan buntu. Beberapa hari gerakan mencari Ain dijalankan, namun sepanjang beberapa hari itu Ain tidak berjaya ditemui.


****


Pagi itu, Keadaan di ruang makan itu hanya sunyi sepi, tiada gelak tawa antara Hariz dan Puan Naimah seperti kebiasaannya. Masing-masing sibuk melayan perasaan sendiri.


“Hariz, umi bukan nak memaksa kamu. Umi dah tua, entah esok, entahkan lusa umi pergi, siapa nak tengokkan kamu? Sudah-sudahlah ingatkan benda yang lepas. Semua orang sedih dengan kehilangan Ain, apa yang boleh Hariz buat, doa banyak-banyak. Hariz kena move on, sampai bila nak macam ni? Hariz dengar cakap umi, Hariz kahwin dengan Suraya, Umi tengok Suraya tu baik orangnya,” Puan Naimah masih tidak berhenti memujuk.


Hariz hanya buat tidak tahu, pandangannya hanya terarah kepada bihun goreng di dalam pinggan.


“Ikutkan, umi pun sayangkan Ain, tapi dah tak ada jodoh Hariz dan Ain nak buat macammana? Kalau Hariz tak kasihankan diri Hariz, Hariz kasihankanlah umi,” Puan Naimah sudah mula merayu.


Hariz angkat kepala mendengarkan kata-kata terakhir yang keluar dari mulut Puan Naimah. Wajah tua di depannya dipandang lama. Mencari keikhlasan pada wajah kesayangannya itu.


“Hariz tak nak siksa perempuan lain umi, Hariz tak sampai hati nak kahwin dengan perempua lain, sedangkan Hariz masih masih cintakan Ain.”


“Hariz kena belajar, Hariz kena berani,” ucap Puan Naimah lembut.


“Ikut umilah, kalau umi rasa dengan berkahwin dengan Suraya sesuatu yang terbaik untuk Hariz, Hariz ikut je, Hariz tak ada halangan.” balas Hariz sambil bangun dari kerusi. 

Langkah diatur mendekati Puan Naimah, tangan wanita separuh umur itu di salam dan diciumnya. 


“Hariz pergi kerja dulu ye umi,” tambah Hariz. Puan Naimah yang masih duduk di kerusi meja makan menganggukkan kepala perlahan. Senyuman terukir di wajahnya apabila mengingati keputusan yang keluar dari mulut Hariz sebentar tadi.


Hariz geleng kepala apabila tiba di depan pintu utama. Suraya berdiri tegak memandang Hariz. Tidak henti-henti mata gadis itu memandang wajahnya. 


Hariz jadi rimas. “Apa pandang macam tu?” ucap Hariz.


Suraya geleng kepala laju-laju apabila tingkahnya diperhatikan. “Su bawa karipap. Abang Hafiz cakap, Hariz suka makan karipap.” Hariz hanya mengukir senyuman tawar mendengarkan kata-kata Suraya.


“Rasalah, karipap ni Su yang goreng.” Bekas berisi karipap itu dihulurnya kepada Hariz yang sedang bersandar di dinding Toyota Vios berwarna hitam itu.


Hariz geleng kepala. Pintu Toyota Vios sebelah pemandu dibukanya.


“Rasalah satu,” Suraya masih tidak berhenti memujuk.


“Tak pelah Su, saya dah makan tadi.” Hariz menolak lembut perlawaan Suraya. Hariz masuk ke dalam perut kereta lalu menghidupkan enjin. 


Pada Hariz, tiada mana-mana gadis mampu menyediakan karipap sesedap Ain. Sungguh, karipap yang dibawa Suraya itu mengingatkan Hariz pada Ain.


Suraya sudah mencuka apabila Hariz tidak mahu menyentuh karipap yang dibawanya. Melihatkan wajah Suraya yang mencuka dan mengingati permintaan Puan Naimah yang mahu menjodohkan dirinya dengan Suraya, akhirnya hati Hariz sedikit lembut.


“Su, bagi sini saya rasa,” panggil Hariz pada Suraya yang berdiri di hujung pintu. 

Mendengarkan panggilan Hariz, Suraya berjalan laju mendekati kereta Hariz.


Sebiji karipap Hariz ambil dan letakkan di atas tisu. “Terima Kasih,” ucap Hariz.  Suraya sudah mengukir senyuman, gembira mungkin kerana usahanya tidak sia-sia.


Hariz membalas senyuman Suraya. Mungkin benar kata-kata Umi bahawa Suraya itu baik, mungkin tidak sebaik Ain, setidak-tidaknya Suraya boleh terima Hariz seadanya.


*****


“Kau rasa, patut ke aku terima calon dari keluarga aku tu?” soal Hariz pada kawan baiknya Aidil. Aidil yang sedang rancak menyuap nasi goreng ke mulut berhenti menyuap. Matanya membutang mendengarkan kata-kata yang keluar dari mulut Hariz.


“Suraya?” soal Aidil.


“Yupp,” balas Hariz.

“Ye lah! Suraya mana lagi yang berani buat rumah umi aku tu macam rumah mak ayah dia,” Balas Hariz.


“Kau tak nak cari sendiri ke? Aku takut kau menyesal je!” balas Aidil.


“Menyesal kenapa pula?” Hariz sudah mengerutkan keningnya.


“Tak ada apa-apalah! Kalau kau rasa dia terbaik, tak salah mencuba.” Aidil membuang pandangan kepada orang ramai yang sedang memilih lauk di bahagian makanan di Restoran Tupai-tupai itu. Waktu makan tengahari, restoran yang menyediakan pelbagai jenis makanan itu memang menjadi tumpuan orang ramai.


“Aku tak faham maksud kau,” Hariz sudah mengerutkan keningnya.


“Tak ada apa-apa, aku cuma suruh kau hati-hati je, kau tak kenal dia, jangan expect yang dia adalah terbaik!” nasihat Aidil lagi. Hariz mengeluh. Tak faham!


“Aku tak faham maksud kau, pada aku, kalau umi aku dah suka, aku okey. Kalau dengan berkahwin dengan Suraya boleh menghilangkan ingatan aku kepada Ain, aku terima.”


“Kalau aku jadi kau, aku akan tunggu Ain! Kadang-kadang, Allah uji kita dengan kehilangan. Allah nak tengok sejauh mana kita hargai seseorang itu dalam hidup kita, kalau masa-masa macam ini kita dah tak setia, macammana nak hidup bersama sepanjang hayat?” balas Aidil.


“Aku tak faham,”


“Kau tak faham sebab kau dah tak nak tunggu Ain, betul?” Duga Aidil.


“Aku tak tahu sampai bila aku nak tunggu,” suara Hariz mengendur.


“Hanya kerana sebiji karipap, kau dah mula lupakan Ain!” sinis kata-kata Aidil masuk ke dalam telinga Hariz. Pagi tadi, ketika berselisih dengan Hariz di pantry, sempat Aidil melihat Hariz makan sebiji karipap yang di balut dengan tisu sambil memegang sebiji mug berisi air Nescafe. Senyuman di bibir Hariz juga nampak lain. Sepertinya, sedang ada bunga-bunga cinta kembali berkembang di hatinya.


“Mana kau tahu?” soal Hariz pelik.


Aidil mengeluh pula. Sakit hatinya melihat sikap Hariz.


“Kau lupa ke, sejak Ain hilang, kau tak pernah langsung jamah kuih karipap. Kau cakap, kau hanya akan mula makan kuih kegemaran kau tu semula kalau Ain balik. Kau lupa?” Soal Aidil. Hariz terdiam. Kelu untuk memangkah kata-kata Aidil. Segala yang keluar dari mulut Aidil itu ada kebenarannya. Betapa di telah mengkhianati janjinya!


Wajah Aidil di depannya di pandang kosong. Aidil sudah senyum menyenget, 
mentertawakan Hariz mungkin!


“Kau rasa Ain hidup lagi tak?” Hariz sengaja mengalihkan topik perbualan mereka kepada soal Ain.


“Kenapa tanya aku? Kau yang bercinta dengan dia, sepatutnya kau lah yang tahu, bukan aku,” sinis lagi jawapan dari Aidil.


Hariz mengeluh. Sakit hati dengan kata-kata Aidil.

** Bersambung...

Karya Cyda Yusuf#cyda yusof BlogPublisher: KecikbesO