“ Aku nak kau kahwin
dengan aku,” seperti arahan Fariq meluahkan kata-katanya kepada gadis di
hadapannya itu. Gadis itu memandang Fariq tidak berkelip. Seingatnya dia tidak
pernah bertemu dengan jejaka di hadapannya ini.
“ Maafkan, saya. Awak
ni siapa? Saya tak pernah jumpa awak pun sebelum ni,” terluah juga perkara yang
berlegar di kepalanya yang berbalut itu.
“ Itu kau tak
perlu tahu. Aku cuma nak kau kahwin dengan aku saja. Kau bolehlah beritahu
parent kau,” ujar Fariq sambil badannya di kalih daripada memandang gadis itu.
Dia memasukkan kedua tangannya ke dalam poket slacknya itu sambil membuang
pandang ke luar jendela wad gadis itu.
“ Awak dah gila
ke apa? Saya tak kenal awak la. Parent saya takkan senang-senang benarkan saya
berkahwin dengan awak,” balas gadis itu separuh menjerit. Di pegang kepalanya
yang berdenyut-denyut. Dia menekan kepalanya perlahan. Badannya turut berasa
sakit.
“ Itu tak
penting. Aku sendiri yang akan berunding dengan parent kau. Aku akan pastikan
mereka akan bersetuju,” ujar Fariq lagi tanpa menoleh sedikit pun ke arah gadis
itu.
Tiba-tiba dia terdengar
bunyi pintu wad itu terbuka. Muncul doktor bersama jururawat tergesa-gesa
menuju ke katil gadis itu. Doktor itu memandang Fariq yang kelihatan selamba
sedangkan gadis itu sedang bertarung dengan kesakitannya.
“ Maafkan kami,
encik. Sila tunggu di luar. Keadaan pesakit tidak stabil buat masa sekarang,”
pinta jururawat yang sedang bertugas itu. Fariq mengangguk lalu berlalu keluar.
Dia masih akan datang ke sini sehingga gadis itu bersetuju untuk mengahwini.
Fariq akan pastikan
gadis itu jatuh ke tangannya. Dia akan pastikan gadis itu takkan bahagia.
Kerana gadis itulah, Airis pergi meninggalkannya. Menurut saksi yang
menyaksikan tragedi itu, kereta gadis tersebut yang tiba-tiba datang dari arah
bertentangan. Ketika itu, Airis terkejut dan tidak dapat mengelak. Lalu
berlakulah perlanggaran di antara kereta Airis dan gadis itu. Airis tidak dapat
bertahan dan menghembuskan nafasnya ketika dalam perjalanan ke hospital.
Fariq tidak menyangka
malam itu adalah malam terakhir dia dan Airis bertemu. Juga malam terakhir
mereka berborak. Tinggal seminggu sahaja lagi sebelum majlis perkahwinan mereka
akan berlangsung. Namun, Airis terlebih dahulu pergi menghadap Ilahi. Alangkah
terkejutnya Fariq apabila dia mendapat panggilan telefon daripada Encik Halim
yang memberitahu pemergiaan gadis kesayangannya. Hatinya benar-benar hancur
tatkala mendapat berita itu.
Sebaik mengetahui
mengenai orang yang bertanggungjawab akan kemalangan itu, Fariq nekad untuk
membalas perbuatan orang itu. Dia berjanji untuk membalas dendam. Hati Fariq
sudah mati dengan perasaan kasih sayang sejak Airis pergi meninggalkannya. Yang
tinggal hanya dendam kesumatnya.
Sebaik menerima
panggilan dari hospital Tan Sri Kasyfi dan Puan Sri Harlina segera ke hospital
untuk bertemu dengan anak tunggal mereka, Arianna. Mereka menuju ke kaunter
untuk bertanyakan wad Arianna dan suami isteri itu berlalu ke wad yang
diberitahu jururawat di kaunter itu. Sesampainya mereka di situ, mereka
ternampak seorang jejaka sedang berada di luar wad Arianna.
“ Assalamualaikum,”
ucap Tan Sri Kasyfi kepada jejaka tersebut. Jejaka tersebut agak terperanjat.
“ Waalaikumsalam,”
jawab jejaka itu sambil bersalaman dengan Tan Sri Kasyfi.
“ Kalau ikutkan nurse
kat kaunter, ni wad anak saya. Kamu datang melawat orang yang kat dalam wad ni
ke?” soal Tan Sri Kasyfi untuk memastikan mereka tidak tersilap wad.
Fariq mengagak mereka
ini adalah ibu bapa gadis itu. Baik dia mengambil peluang ini untuk menjelaskan
hal yang sebenar. Dia tidak mahu gadis itu lari. “ Memang encik tak salah
rasanya. Saya memang datang melawat orang yang kat dalam tu. Dia kawan saya,”
Fariq terpaksa berbohong.
“ Kalau macam tu
jomlah masuk. Risau pulak uncle dengan keadaan anak uncle tu, “ ajak Tan Sri
Kasyfi ramah.
“ Errr, uncle. Ada
doktor tengah check anak uncle. Tadi keadaannya tidak stabil,” jelas Fariq
jujur.
Sebab dia juga, gadis
itu tidak stabil. Tan Sri Kasyfi mengangguk lalu menarik lengan isterinya untuk
duduk di kerusi di sebelah wad itu. Fariq masih berdiri bersahaja dengan
menyilangkan tangannya sambil bersandar di dinding wad itu.
“ Abang, kalaulah saya
sorokkan fail yang abang bagi tu elok-elok, mesti Ria tak jadi macam ni,”
terbit rasa bersalah di lubuk hati Puan Sri Harlina. Tan Sri Kasyfi mengusap
lembut belakang isterinya untuk menenangkannya.
“ Benda dah jadi. Tak
guna menyalahkan sesiapa,” balas Tan Sri Kasyfi. Fariq sudah merencanakan
sesuatu di dalam mindanya. Dia akan meminta izin kedua ibu bapa gadis itu
sendiri agar mereka mengizinkan anak mereka berkahwin dengannya.
“ Maafkan saya, uncle,
auntie. Saya ada benda yang nak berbincang sedikit. Kalau saya tak
mengganggulah,” Fariq mula berbasa basi.
Tan Sri Kasyfi
mendongak sedikit memandang jejaka yang baru dikenalinya itu. “ Ada apa, ya?”
soal Tan Sri Kasyfi. Fariq menarik nafasnya sebelum berkata.
“ Saya sebenarnya dah
lama berkawan dengan anak uncle, so saya dah ambil keputusan untuk melamar anak
uncle,” jelas Fariq sambil memandang Tan Sri Kasyfi dan Puan Sri Harlina
bersilih ganti.
Alangkah terkejutnya
kedua orang tua itu. “ Tapi, Rianna tak pernah beritahu kat kami pun sebelum ni
pasal kamu,” balas Tan Sri Kasyfi.
“ Mungkin dia tak
sempat agaknya,” kata Fariq. “ Saya harap uncle izinkan saya berkahwin dengan
anak uncle. Saya sangat sayangkan anak uncle,” bohong Fariq.
“ Baiklah. Uncle akan
bagi peluang Arianna untuk menjelaskankannya dan barulah uncle and auntie akan
pertimbangkan,” ujar Tan Sri Kasyfi. Belum sempat Fariq membalas, doktor dan
jururawat keluar dari wad Arianna. Cepat-cepat mereka menuju ke arah doktor itu
untuk mengetahui keadaan Arianna.
Setelah mendengar
doktor itu memberitahu keadaan Arianna, mereka bertiga segera bertemu dengan
Arianna yang sudah stabil itu. Tersenyum Arianna dengan kehadiran kedua ibu
bapanya itu. Sebaliknya dia canggung dengan kehadiran lelaki yang tidak
dikenalinya itu.
“ Sayang okay ke?”
soal Fariq sambil tersenyum memandang Arianna. Senyuman yang penuh
kepura-puraan. Pelik Arianna dengan gelagat lelaki itu. Ibu bapanya pula tidak
berkata apa-apa. “ Sayang jangan risau. I dah bagitahu parent you pasal hal
kita,” kata Fariq selamba. Bulat mata Arianna dek terkejut. Nasib baik dia
sudah stabil. Kalau tak, mati tekejut dia di sini.
“ Betul tu, Ria.
Kenapa tak cerita dekat daddy dengan mummy tentang hubungan kamu dan...,” Tan
Sri Kasyfi memandang Fariq. Dia terlupa pula hendak bertanyakan nama jejaka
kacak itu.
“ Rayyan, uncle,”
beritahu Fariq. Lebih baik dia memperkenalkan dirinya sebagai Rayyan. Dia tidak
mahu menempah bala dengan memberitahu nama panggilan yang biasa
digunakan. Mahu sakit jantung kedua ibu bapanya. Biarlah mereka tidak mengenali
ahli keluarganya.
“ Patutlah Ria selalu
tolak pinangan kawan-kawan mummy tu, ya. Rupanya dah ada yang lagi kacak,” usik
Puan Sri Harlina.
Aduh! Semakin lama,
semakin panas hati Arianna. Kalaulah kakinya ini boleh berjalan, mahu
ditumbuk-tumbuk lelaki yang bernama Rayyan itu. Harap muka sahaja handsome tapi
perangai macam hampeh. Kutuk Arianna di dalam hati. Mukanya yang putih itu
sudah merah menahan geram.
“ Daddy nak tahulah,
Ria memang nak berkahwin dengan Rayyan ke? Kalau Ria sudah pilih Rayyan sebagai
suami, daddy dan mummy tak halang,” ujar Tan Sri Kasyfi. Fariq tersenyum
senang. Disebabkan kebodohan bakal mertuanya, dia akan pastikan rancangannya
itu berjaya. Bakal mertua? Kira jadilah tu.
Arianna menarik
nafasnya dan dihembus perlahan. Dengan lafaz bismillah. “ Ria memang nak
bagitahu tapi Ria sendiri terlantar kat sini. Ria memang nak kahwin dengan
Ra...Rayyan,” perlahan Arianna menuturkannya. Fariq yang mendengarnya
tercengang. Biar betul minah ni. Tadi bukan main dia menolak. Namun, dia
bersyukur gadis itu sudah memberinya peluang.
Kalau tidak kerana
perasaan bersalahnya kepada Rayyan, sudah tentu dia tidak akan bersetuju.
Doktor yang merawatnya sebentar tadi merupakan sahabat baiknya. Dia mengetahui
tentang Rayyan melalui doktor itu, Doktor Shiha. Alangkah terkejutnya Arianna
apabila mengetahui gadis yang kemalangan dengannya itu sudah meninggal dunia.
Doktor Shiha turut memberitahunya mengenai Rayyan atau lebih dikenali sebagai
Fariq, Fariq Rayyan anak Datuk Rasyid.
“ Baiklah. Uncle nak
Rayyan hantar family Rayyan masuk meminang sebaik Rianna pulih,” ujar Tan Sri
Kasyfi.
“ Errr, uncle. Maafkan
saya sebab family saya berada di luar negara sekarang. Nanti saya cuba
bincangkan dengan mereka,” bohong Fariq. Keluarganya tidak boleh mengetahui hal
ini. Itu namanya menempah maut. Sudahlah Airis baru sahaja meninggal dan
kuburnya juga masih merah. Sekarang, dia pula nak berkahwin.
“ Tak apalah, daddy.
Kita buat yang wajib sahaja. Ria tak mahu majlis yang besar. Ria tak suka,”
tipu Arianna. Maafkan Ria, mummy, daddy. Kenapalah dia perlu hidup begini.
Mungkin takdir yang membawanya ke sini. Dia redha. Arianna sudi untuk menerima
segala apa yang bakal di hukum oleh Fariq untuknya.
“ Kalau dah itu kata
kamu, daddy turutkan,” setuju Tan Sri Kasyfi dengan permintaan anak tunggalnya
itu. Puan Sri Harlina turut bersetuju. Biarlah anak tunggal mereka itu
bergembira.
“ Terima kasih, uncle,
auntie,” ucap Fariq. Dia kemudiannya berdiri di sisi Arianna. “ Terima kasih,
sayang. I promise that i will be the best husband for you,” ucap Fariq kepada
Arianna. Sudah tentulah tidak ikhlas. Cuma berlakon di hadapan bakal ibu bapa
mertuanya sahaja.
“ Bila kamu nak
langsungkan?” soal Puan Sri Harlina. Walaupun majlisnya ringkas, dia masih
perlu membuat persiapan.
“ Kalau boleh biarlah
Ria sembuh sikit, eh. Paling kurang pun biar tu balutan pocong kat kepala Ria
ditanggalkan. Hodoh pulak tengok pengantin yang dah macam pocong,” gurau Tan
Sri Kasyfi.
“ Daddy ni kan.
Berlapik la sikit nak buat lawak sarkas pun. Dahla Ria tidur sorang kat sini,”
tukas Arianna perlahan. Tergelak mummy dan daddynya. Anak gadis mereka yang
seorang ini memang penakut.
“ Holah, gurau aje.
Bukan selalu dapat usik kamu. Alihnya kita pulak yang di usik,” kata Tan Sri
Kasyfi sambil ketawa yang masih bersisa.
“ Jom la, bang. Tadi
kata ada date dengan kekasih baru,” Puan Sri Harlina mencuit siku suaminya itu.
“Amboi sakan daddy
sekarang ni. Ada date segala. Siap berteman lagi, huh,” usik Arianna.
“Ish, kamu ni. Ada
date dengan nenek Arianna lah. Nenek nak buat majlis doa selamat untuk Ria,”
balas Tan Sri Kasyfi.
“ Owh, itu kekasih
lama. Majlis doa selamat apanya, daddy. Tuan punya badan kat sini tak sembuh
lagipun, ha,” balas Arianna. Fariq masih tercegat di hujung katil sementara
mummy dan daddy Arianna setia disisi anak perempuan kesayangan mereka.
“ Biarlah, janji Ria
dah boleh bercakap, boleh lagi mengusik, itu dah buat kami bersyukur sangat.
Kamulah satu-satunya harta yang kami ada. Nenek pulak ada kamu aje as her cucu.
Tak ada yang lain lagi dah. Mummy tak dapat bayangkan kalau kamu pun pergi
tinggalkan kami macam arwah abang. Silap hari bulan, wad gila tempat mummy
agaknya,” ujar Puan Sri Harlina panjang. Tapi ada orang nak Rianna mati, mummy!
Arianna memandang Fariq yang sedang memandangnya tajam.
“ Jomlah, mamanya.
Karang mengamuk pulak umi kat rumah tu. Rayyan tolong tengokkan Arianna ya.
Kami cuma boleh harapkan kamu aje sekarang ni,” kata Tan Sri Kasyfi sambil
menghulurkan tangannya untuk bersalam dengan Fariq. Kemudiannya dia memeluk dan
mencium dahi Arianna. Puan Sri Harlina turut berbuat demikian. Sayu pula ingin
meninggalkan anaknya yang seorang ini.
“ Uncle and auntie
jangan risaulah. Saya teman Ar...Arianna hari ni,” janji Fariq. Dia masih cuba
untuk menyebut nama gadis itu. Tadi dia ada terdengar Puan Sri Harlina menyebut
nama penuh Arianna.
“ Terima kasih ya,
Rayyan. Kami balik dulu,” pasangan suami isteri itu berlalu.
Kekok pula Arianna
apabila dia berdua sahaja dengan Fariq. Segan sudah menerpa memandangkan hari
ini adalah hari pertama mereka bertemu. Hari pertama dan lelaki itu sudah
melamarnya. Arrrggghhh! Tension dibuatnya.
“Kenapa kau setuju nak
kahwin dengan aku?” soal Fariq memecah kesunyian. Dia ingatkan gadis itu akan
menolak lamarannya tadi.
“ Sebab saya sendiri
yang rela masuk mulut harimau,” gumam Arianna perlahan.
“ Apa? Aku tak
dengar,” kata Fariq sambil berjalan menghampiri Arianna. Dia berdiri
betul-betul di sisi Arianna.
“ Erm, saya cakap saya
memang suka pun main dengan harimau. Awak kan macam harimau. Tunggu masa aje
nak terkam mangsa dia,” balas Arianna selamba.
Matanya tidak
berani bertentangan dengan mata Fariq. Pandai pulak perempuan ni
main-main! Fariq mencerlung memandang Arianna. Baginya gadis berani melawan
setiap percakapannya.
“ Aku tak buat lawak
sekarang ni. Cuba serius sikit, boleh tak? Tak pasal ada juga yang kena makan,”
Fariq bersuara tegas.
“ Dah habis serius la
ni. Saya tahu awak nak balas dendam pada saya. Saya yang sebabkan kematian
bakal isteri awak kan, Encik Fariq Rayyan?” Arianna mendongak sedikit dan cuba
mencari wajah kelat milik Fariq. Dia tahu nama aku? Musnah!
“ Kau kenal aku?” soal
Fariq sambil merenung tajam anak mata Arianna. Arianna menunduk kerana malu
kerana di tenung begitu.
“ Doktor tadi tu kawan
saya. Dia yang bagitahu saya pasal awak,” balas Arianna. Fariq mengangguk lalu
badannya di alihkan ke jendela.
“ Aku tak tahu kenapa
aku bertindak macam ni. Mungkin aku tak boleh terima semua ni. Mungkin,” tidak
semena-mena Fariq berkata begitu. Arianna terkebil-kebil. Boleh pula lelaki ni
berlembut. Huh.
“ Betul ke parent awak
kat oversea? I don't think so, Encik Rayyan,” duga Arianna.
“ Aku tak gila lagi
nak beritahu dia orang pasal ni. Tak rela aku kena baham dengan harimau,” jawab
Fariq sambil bergurau kecil. Dia tersenyum sinis. Belum sempat Arianna membalas
kembali.
“ Assalamualaikum,”
ucap seorang lelaki di pintu wad Arianna. Pantas Arianna memanggil Fariq yang
sedang menjawab salam itu.
“ Awak, tolong ambil
something yang boleh tutup kepala saya,” bisik Arianna.
Fariq mencapai
selendang yang terletak di dalam laci bersebelahan katil Arianna. Dia ternampak
ada sesuatu yang berjuntai di laci itu. Tak sangka pula itu adalah selendang.
Arianna cepat-cepat mengenakan selendang itu di kepalanya. Dengan aku tak apa
pulak tak tutup, omel Fariq.
“ Maafkan kami
mengganggu,” suara lelaki tadi akhirnya kedengaran sedikit jelas. Dia menunduk
sedikit untuk menarik besi bagi menghalang kerusi roda isterinya itu bergerak.
Terdapat seorang bayi comel di pangkuan isterinya. Baru dilahirkan agaknya.
“ Tak adalah. Encik ni
siapa?” soal Arianna.
“ Saya Murad. Ini
isteri saya, Khalijah. Dan ini anak kami yang baru lahir,” lelaki bernama Murad
itu memperkenalkan dirinya dan keluarga kecilnya.
“ Owh, ada apa
ya? Saya rasa saya tak pernah jumpa Encik Murad dan isteri. Staf daddy saya
ke?” Arianna bertanya lagi. Fariq hanya memandang tetamu Arianna itu. Dia malas
masuk campur urusan gadis itu. Seperti bodyguard Fariq berdiri di sisi Arianna.
“ Cik tak ingat kami
ke? Errr...errr,” Murad memandang isterinya. Khalijah mengangguk sambil
tangannya menarik lembut tangan suaminya. Ingin memberi semangat agaknya.
“ Kita pernah
berjumpa, eh?” Arianna memandang suami isteri itu bersilih ganti.
“ Macam ni, kami
datang sini sebab ingin memohon maaf di atas kesalahan saya. Kalau bukan kerana
saya tergesa-gesa ingin menghantar isteri saya ke hospital, mungkin cik tak
akan terlantar kat sini. Dan mangsa lagi seorang tu takkan meninggal dunia,”
akhirnya terluah juga.
Arianna perasan akan
tangan Fariq yang sedang dikepal itu. Harap-harap dia tak tumbuk Muradlah.
Entah dari mana kekuatan Arianna, dia mencapai tangan Fariq yang sedang menahan
geram itu. Fariq memandangnya tajam.
“ Relaks kejap. Saya
nak dengar apa Encik Murad nak sampaikan. Tolong,” lembut suara Arianna
mengalunkan kata-kata itu. Fariq sudah melepaskan tangannya yang dikepal tadi.
Arianna menarik kembali tangannya apabila melihat lelaki itu sudah bertenang.
“ Ini suami cik?”
Murad memandang Fariq. Dia perasan akan ketegangan Fariq sebentar tadi. Naik
takut juga dia.
“ Saya, Arianna. Bukan
suami saya, ini Rayyan. Dia bakal suami perempuan yang meninggal tu,” balas
Arianna jujur. Alangkah terkejutnya pasangan suami isteri itu. Masing-masing
menundukkan wajah mereka. Pucat.
“ Maafkan kami, Encik
Rayyan. Kami tahu dengan memohon keampunan, kami tak dapat kembalikan bakal
isteri encik,” Murad memberanikan dirinya.
“ Tahu pun kau,” keras
nada Fariq bersuara. Dipandang pasangan itu seperti mahu ditelannya.
“ Encik Rayyan, sabar
okay. Tak handsome lah marah-marah macam ni,” Arianna cuba bergurau. “ Saya tak
salahkan Encik Murad pun. Jangan risau,eh,” kata Arianna. Arianna redha dengan
apa yang sudah berlaku. Fariq membuang pandang ke luar jendela. Entah kenapa
marahnya berkurang apabila mendengar kata-kata Arianna. Mungkin dia tahu bukan
Arianna penyebab kematian Airis.
“ Betul ke Encik
Rayyan ni bakal suami Cik Airis?” Murad bertanya kepada Arianna.
“ Encik Murad tahu
nama bakal isteri saya?” Fariq kembali memandang Murad. Suara yang keras tadi
sudah mulai lembut.
“ Sebelum dia
meninggal, kami sempat berbual. Err...maksud saya dia cuba membantu isteri saya
yang tengah sakit nak bersalin time tu. Walaupun lemah, dia masih memberi kami
semangat. Saya sempat juga bertanyakan namanya. Saya ingat ingin membalas
budinya tapi saya tak sangka dia terlebih dahulu dijemput Ilahi,” ujar Murad.
“ Cik Arianna tak
ingat ke masa kejadian tu? Kebanyakan saksi yang datang salahkan Cik Arianna sebab
mereka ingat cik yang bersalah,” Khalijah memandang Arianna yang agak
tercengang.
Dia bukan tidak ingat
akan kejadian itu cuma dia tidak mahu membabitkan pasangan suami isteri ini.
Arianna takut Fariq akan membalas dendam terhadap mereka. Biarlah dia sahaja
yang menanggung.
“ Errr, mungkin trauma
agaknya,” dalih Arianna.
“ Saya rasa sangat
bersalah tak dapat membantu time tu, Saya tak sanggup nak tinggalkan isteri
yang tengah sakit sorang-sorang kat situ. Apa yang dapat saya lihat Cik Arianna
cuba untuk keluar dari kereta tapi tak boleh sebab kaki Cik Arianna tersekat
kat kerusi pemandu,” jelas Murad.
Dia berhenti seketika
sebelum kembali menjelaskan kembali keadaan ketika itu. “ Cik Arianna cuba lagi
sambil menjerit dan akhirnya Cik Arianna berjaya. Awak cuba secepat mungkin
merangkak ke kereta Cik Airis dan menarik badan Cik Airis jauh dari keretanya,”
cerita Murad.
“ Suami saya berlari
mambantu Cik Arianna. Beberapa saat kemudian, kereta milik Cik Airis meletup.
Fahamlah saya, Cik Arianna cuba selamatkan Cik Airis daripada meletup sekali
dengan keretanya. Mungkin Cik Arianna terbau petrol,” sambung Khalijah. Arianna
diam. Fariq turut begitu. Dia sudah berdendam dengan penyelamat bakal
isterinya. Timbul rasa kesalnya. Dia meraup rambutnya ke belakang.
“ Kau tak ingat
apa-apa ke?” soal Fariq.
Arianna menggeleng
kepalanya. Dia tidak mahu Fariq tahu dia mengingati setiap saat itu. Arwah
Airis sangat menyayangi Fariq. Sebelum di bawa ke hospital, sempat Airis
memberi nama kepada bayi Murad namun Murad tidak mendengar dek kerana cemas
isterinya bersalin di situ juga. Arwah turut berkata sesuatu di telinga
Arianna.
“
Tolong...cari...Fariq...dan cakap...saya...sayang dia...sangat-sangat,” ucap
Airis perlahan sambil menahan kesakitan. Arianna hanya mampu mengangguk. Dan
selepas itu Arianna pengsan. Sedar-sedar dia sudah berada di hospital dan
muncul Fariq di hadapannya.
“ Kami suami
isteri ingin memberi penghormatan kepada Cik Arianna bagi pihak Cik Airis untuk
memberi nama kepada puteri sulung kami,” tutur Murad sambil mengambil bayi
comel itu dipangkuan Khalijah dan dihulurkan kepada Arianna.
Arianna menyambut
huluran Murad dan memangku bayi comel itu. Dia mengusap lembut wajah bayi itu.
Kepala. Dahi. Mata. Pipi. Bibir. Lalu dicium penuh kasih sayang bayi itu. “
Puteri? Syafa Akira,” keluar satu nama dari mulut Arianna.
Menitis air mata
Arianna saat menyebut sebaris nama itu. Itulah nama yang diberikan oleh arwah
Airis kepada puteri comel itu. Nama watak dalam novel ' Sebenarnya saya isteri
dia' setahunya kerana dia juga turut meminati novel itu. Fariq terperanjat
apabila mendengar nama yang disebut oleh Arianna. Itu adalah nama impian dia
dan arwah Airis untuk anak mereka kelak.
“ Syafa Akira? Sedap
nama tu kan, sayang,” Murad mengusap lembut kepala isterinya.
Arianna masih menangis
sambil tangannya mengusap lembut pipi bayi itu, Syafa Akira. Setelah puas
menilik bayi comel itu, Arianna menyerahkan bayi kepada Fariq. Mungkin Fariq
ingin mendukung bayi itu. Memang betul telahannya, Fariq mengambil bayi itu
dari Arianna. Itu kali pertama Arianna melihat Fariq tersenyum. Handsome
sangat. Hah, sudah. Jangan merepek Arianna! Pesannya sendiri.
“ Syafa Akira, huh?
You look so cute,” lembut Fariq menuturkan kata-katanya itu. Kemarahannya sudah
hilang apabila melihat wajah lembut milik bayi itu. “ Encik Murad, saya jadi
bapa angkat Syafa Akira boleh?” tanpa memandang Murad, Fariq memohon keizinan.
“ Kami bangga sangat
kalau Encik Rayyan nak ambil anak kami sebagai anak angkat encik. Seluruh
hospital ni saya tadahkan,” balas Murad bersungguh-sungguh.
“ Terima kasih. Nanti
bolehlah Encik Murad bagi alamat ya. Boleh saya pergi bermain dengan baby ni
selalu,” ujar Fariq sambil mencium ubun-ubun bayi itu sebelum menyerahkannya
kepada Murad.
Sayu Arianna mendengarnya.
Dia berfikir sama ada ingin menyampaikan pesanan arwah Airis atau tidak.
Selepas ini, mungkin dia tidak akan berpeluang bertemu dengan Fariq lagi
memandangkan Fariq sudah mengetahui perkara sebenar.
“ Uit, jauhnya
termenung. Dah sampai benua mana, Cik Arianna,” kata Fariq sambil
melambai-lambaikan tangannya untuk menyedarkan gadis itu daripada lamunan.
“ Huh? Sorry,” ucap
Arianna perlahan. Dia melepaskan keluhan. Namun perlahan.
“ Saya minta diri dulu
ya. Isteri saya perlu berehat,” Murad meminta diri. “ Terima kasih juga sebab
tak salahkan kami,” sambung Murad lagi.
Fariq dan Arianna
hanya mengangguk dan menghantar pasangan itu dengan pandangan sahaja. Arianna
membetulkan duduknya. Lenguh. Kakinya tidak boleh dilipat kerana kedua-duanya
cedera. Hanya boleh dilunjurkan sahaja. Suasana menjadi beku kembali tanpa
suara. Masing-masing melayan perasaan sebelum ada lagi tetamu yang datang.
0 comments:
Post a Comment
Sila komen kalau anda suka artikel ini.